15
Nyanyian mereka yang menang
1 Aku melihat pula di langit suatu alamat lagi, yang besar dan ajaib, iaitu tujuh malaikat membawa tujuh wabak terakhir, maka dengannya selesailah kemurkaan Allah.
2 Kulihat seakan-akan laut kaca bercampur api. Mereka yang menang menghadapi dugaan binatang itu, patungnya, tandanya dan angka namanya, berdiri di atas laut kaca itu memegang kecapi Allah.
3 Mereka menyanyikan nyanyian Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba:
‘Agung dan ajaib pekerjaan-Mu,
Allah Tuhan Maha Kuasa!
Benar dan adil setiap jalan-Mu,
Ya Raja segala bangsa!
4 Siapakah yang tidak takut kepada-Mu,
Ya Tuhan,
dan memuliakan nama-Mu?
Kerana hanya Engkaulah Yang Maha Suci.
Semua bangsa akan datang
dan sujud menyembah-Mu,
kerana penghakiman-Mu telah ternyata.’
5 Setelah itu aku melihat pula dan ternampak tempat suci dalam khemah kesaksian di syurga terbuka.
6 Dari tempat suci itu keluarlah tujuh malaikat yang membawa tujuh wabak itu, berpakaian suci murni berseri-seri, dada mereka dililiti pending emas.
7 Kemudian salah satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh mangkuk emas dipenuhi kemurkaan Allah yang hidup selama-lamanya.
8 Rumah ibadat Allah dipenuhi asap daripada kemuliaan dan kuasa-Nya dan tiada siapa dapat memasukinya hingga tujuh wabak yang dibawa oleh tujuh malaikat itu selesai.