14
Anak Domba dan pengikut-Nya
1 Kemudian tiba-tiba aku melihat Anak Domba berdiri di puncak Gunung Sion, dan bersamanya seratus empat puluh empat ribu orang dengan nama-Nya dan nama Bapa-Nya tertulis di atas dahi mereka.
2 Aku mendengar suara dari syurga, seperti bunyi air menderu, dan seperti bunyi guruh yang kuat, dan suara yang kudengar itu seperti bunyi daripada pemain-pemain memetik kecapi.
3 Mereka menyanyikan suatu nyanyian yang terasa baru di hadapan takhta, empat makhluk dan para tua-tua. Tiada siapapun dapat mempelajari nyanyian itu kecuali seratus empat puluh empat ribu orang yang ditebus dari bumi.
4 Mereka ini tidak pernah menajiskan diri dengan perempuan kerana mereka menjaga kesucian mereka. Mereka mengikut Anak Domba ke mana-mana Dia pergi. Mereka telah ditebus dari kalangan manusia, sebagai persembahan hasil pertama bagi Allah dan Anak Domba.
5 Mulut mereka tiada kata-kata bohong, dan mereka tiada cacat cela.
Tiga malaikat
6 Kemudian aku melihat satu lagi malaikat terbang di tengah langit, membawa Injil yang kekal untuk diajarkan kepada penghuni bumi dan kepada setiap bangsa, suku, bahasa dan kaum.
7 Katanya dengan suara lantang, ‘Takutilah Allah dan muliakan Dia, kerana sudahlah sampai saat penghakiman-Nya; dan sembahlah Dia yang menjadikan langit dan bumi, laut dan mata air.’
8 Satu lagi malaikat mengikutnya, sambil berkata, ‘Babel telah runtuh, telah runtuh, kota yang besar itu telah memberi semua bangsa minum air anggur kemurkaan Allah terhadap pencabulan mereka.’
9 Mereka diikut oleh satu lagi malaikat yang berkata dengan suara lantang, ‘Jika sesiapa menyembah binatang itu dan patungnya, dan menerima tandanya di atas dahi atau tangan,
10 dia juga akan minum air anggur kemurkaan Allah, yang dituangkan tanpa ditambah air ke dalam cawan murka-Nya itu. Dia akan dikenakan azab api dan belerang di hadapan para malaikat yang suci dan di hadapan Anak Domba.
11 Asap api yang menyeksanya itu akan naik berkepul-kepul selama-lamanya. Mereka tidak akan berehat siang malam, kerana mereka menyembah binatang itu dan patungnya serta menerima tanda namanya.’
12 Di sinilah terletak kesabaran dan keyakinan orang salih yang mengikut perintah Allah serta beriman kepada Isa.
13 Aku mendengar suara dari syurga berkata, ‘Tuliskanlah: Dari saat ini diberkatilah semua orang yang mati dalam Tuhan.’
‘Ya,’ kata Roh, ‘supaya mereka dapat berehat daripada penat lelah, dan hasil usaha mereka menyertai mereka.’
Tuaian di bumi
14 Tiba-tiba aku melihat awan putih dan di atasnya duduk seorang yang rupanya seperti putera insan, bermahkota emas dan memegang sabit yang tajam.
15 Muncul satu lagi malaikat dari rumah ibadat sambil berseru lantang kepada Dia yang duduk di atas awan, ‘Gunakanlah sabitmu, tuailah, kerana sudah sampai waktunya Engkau menuai; tuaian dunia sudah masak.’
16 Lalu Dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabit-Nya ke atas bumi, dan bumi pun dituai.
17 Kemudian satu lagi malaikat keluar dari rumah ibadat yang di syurga, juga membawa sabit tajam.
18 Menyusul pula malaikat lain yang keluar dari mazbah dan menguasai api, sambil berseru nyaring kepada yang memegang sabit tajam, ‘Gunakanlah sabit-Mu yang tajam itu, kumpulkan segala gugusan anggur di bumi, kerana anggurnya sudah cukup masak.’
19 Maka malaikat itu menggunakan sabitnya untuk mengumpulkan gugusan anggur di bumi, dimasukkannya ke dalam irikan besar kemurkaan Allah.
20 Irikan itu diinjak di luar kota, lalu darah mengalir keluar, setinggi kekang kuda dan sejauh dua ratus batu.