3
Kemungkaran pada akhir zaman
1 Ketahuilah, bahawa pada akhir zaman, akan datang suatu masa yang sukar.
2 Manusia akan menjadi pencinta diri, pencinta wang, bercakap besar, berlagak bongkak, mencaci-maki, ingkar terhadap ibu bapa, tidak bersyukur, tidak suci,
3 tidak mengasihi, tidak mengampuni, suka memfitnah, tidak menguasai diri, buas dan pembenci kebaikan,
4 khianat, gopoh, angkuh, serta lebih mencintai keseronokan daripada mengasihi Allah.
5 Mereka menjalankan kewajipan agama tetapi menyangkal kuasanya. Jauhilah orang demikian.
6 Di kalangan mereka ada yang masuk secara rahsia ke rumah orang dan memerangkap perempuan lemah, yang dibebani dosa serta dipengaruhi pelbagai keinginan.
7 Perempuan-perempuan ini sentiasa belajar tetapi tidak menerima kebenaran.
8 Sebagaimana Yanes dan Yambres melawan Nabi Musa dahulu, demikianlah orang ini menentang ajaran yang benar – mereka tidak berfikiran waras dan telah menyeleweng daripada iman sebenar.
9 Namun mereka tidak akan berjaya lebih jauh lagi, kerana semua orang akan menyedari kebodohan mereka, seperti halnya dengan Yanes dan Yambres dahulu.
Perintah Paulus untuk Timotius
10 Tetapi kamu telah mengikut dengan penuh hemat segala ajaranku, cara hidupku, tujuan hidupku, imanku, kesabaranku, kasihku dan ketabahanku.
11 Kau telah melihat penganiayaan dan kesengsaraan serta segala yang menimpaku di Antiokhia, Ikonium dan Listra – betapa penganiayaan yang kutanggung. Akan tetapi Tuhan telah menyelamatkanku daripada semuanya itu.
12 Memang, semua orang yang ingin hidup warak dalam Isa al-Masih akan dianiaya.
13 Orang durjana dan penipu akan bertambah durjana, memperdaya serta diperdaya.
14 Tetapi kamu mestilah terus berpegang kepada segala yang telah kamu pelajari dan yakini, kerana kamu tahu daripada siapa segalanya telah kamu pelajari,
15 dan sejak kecil kamu telah mengenal Kitab Suci yang dapat memberimu kebijaksanaan untuk diselamatkan melalui iman dalam Isa al-Masih.
16 Seluruh Kitab Suci diwahyukan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran.
17 Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik.