19
Nyanyian segala puji bagi Allah
1 Setelah itu aku mendengar suara orang yang amat banyak di syurga berseru lantang,
‘Segala puji bagi Allah!
Penyelamatan dan kemuliaan
dan kuasa bagi Allah Tuhan kita!
2 Kerana segala penghakiman-Nya benar dan adil,
kerana Dia telah menghakimi pelacur besar
yang telah mencemarkan dunia
dengan perzinaannya;
dan Dia telah menghukumnya kerana menumpahkan darah
hamba-hamba-Nya!’
3 Mereka berkata lagi,
‘Segala puji bagi Allah!
Asap api yang membakarnya naik menjulang
selama-lamanya!’
4 Dua puluh empat orang tua-tua dan empat makhluk itu pun sujud menyembah Allah yang bersemayam di atas takhta sambil berkata,
‘Amin! Segala puji bagi Allah!’
5 Kemudian kedengaran suara dari takhta berkata,
‘Pujilah Allah Tuhan kita,
hai kamu sekalian hamba-Nya
dan orang yang takut akan Dia,
baik yang kecil mahupun yang besar!’
6 Kemudian aku mendengar bunyi seperti suara orang yang sangat banyaknya, seperti deru air dan bunyi guruh yang amat hebat, berkata,
‘Segala puji bagi Allah!
Kerana Allah Tuhan Yang Maha Kuasa sedang bertakhta!
7 Bergembira dan bersukacitalah serta muliakan Dia,
kerana saat perkahwinan Anak Domba telah tiba,
dan isteri-Nya sudah menyediakan dirinya.
8 Isterinya diberi kain khasah yang halus,
suci berseri-seri untuk dipakai.’
(Kain khasah yang halus melambangkan segala perbuatan benar yang dilakukan oleh orang salih.)
9 Kemudian dia berkata kepadaku, ‘Tulislah: Berbahagialah mereka yang dijemput ke jamuan kahwin Anak Domba!’ Katanya lagi kepadaku, ‘Inilah firman Allah yang benar.’
10 Aku sujud di kakinya untuk menyembahnya, tetapi dia berkata, ‘Jangan buat begitu! Aku hamba Allah sepertimu, dan seperti saudara-saudaramu yang memiliki kesaksian Isa. Sembahlah Allah! Kesaksian Isa itu roh nubuat.’
Kedatangan al-Masih
11 Kemudian aku melihat syurga terbuka, dan kelihatan seekor kuda putih. Dia yang menunggangnya dipanggil Setia dan Benar, dan dengan keadilan Dia menghakimi serta memerangi.
12 Mata-Nya seperti nyala api, dan di atas kepala-Nya terletak mahkota yang banyak. Ada satu nama tertulis padanya, yang tidak diketahui oleh sesiapapun selain Dia.
13 Dia memakai jubah berpercikan darah dan nama-Nya Firman Allah.
14 Segala tentera syurga, berpakaian kain khasah halus yang putih bersih, menunggang kuda putih mengiringi-Nya.
15 Sekarang dari mulut-Nya keluar pedang yang tajam untuk diparangkan kepada segala bangsa. Dia sendiri akan memerintah mereka dengan tongkat besi. Dia sendiri menginjak irikan kemurkaan Allah Maha Kuasa.
16 Pada jubah dan paha-Nya tertulis nama:
‘RAJA SEGALA RAJA, JUNJUNGAN SEGALA JUNJUNGAN’.
17 Kemudian aku melihat malaikat berdiri di matahari, berseru lantang kepada burung-burung yang terbang di udara, ‘Marilah berhimpun untuk makan malam Allah Yang Maha Besar!
18 Kamu akan makan daging raja, panglima, orang berkuasa, kuda dan penunggangnya, dan semua orang, baik hamba mahupun merdeka, baik kecil mahupun besar.’
19 Aku melihat binatang itu, raja-raja dunia dan tentera mereka berhimpun untuk memerangi Dia yang berkuda itu serta tentera-Nya.
20 Kemudian binatang itu ditawan, dan bersamanya nabi palsu yang mengadakan pelbagai alamat di hadapannya dan dengan demikian memperdaya orang yang telah menerima tanda binatang itu serta orang yang menyembah patungnya. Kedua-duanya dihumbankan hidup-hidup ke dalam lautan api yang menyala dengan belerangnya.
21 Yang lain dibunuh dengan pedang yang keluar daripada Dia yang berkuda. Burung-burung kenyang makan daging mereka.