10
Malaikat dan gulungan naskhah
1 Setelah itu aku melihat satu lagi malaikat yang gagah perkasa turun dari syurga, tubuhnya diliputi awan dan kepalanya dilingkari pelangi. Wajahnya bersinar seperti matahari, dan kakinya seperti tiang api.
2 Tangannya memegang segulungan naskhah kecil yang terbuka. Kaki kanannya di laut, kaki kirinya di darat.
3 Dia berseru dengan suara seperti bunyi sekawan singa mengaum, disahut oleh tujuh guruh dengan gemuruh.
4 Sebaik-baik tujuh guruh itu berkata-kata, aku hendak mencatat kata-katanya. Tetapi kudengar suara dari syurga berkata kepadaku, ‘Materaikan segala yang dikatakan oleh tujuh guruh itu, jangan dituliskan.’
5 Malaikat yang kulihat berdiri antara laut dengan darat itu mengangkat tangannya ke langit.
6 Dia bersumpah demi Dia yang hidup selama-lamanya, yang telah mencipta syurga dan segala isinya, bumi dan segala isinya serta laut dan segala isinya, bahawa segalanya tidak harus dilengah-lengahkan lagi.
7 Tetapi pada masa malaikat ketujuh hendak meniup sangkakalanya, rahsia Allah akan selesai, sebagaimana firman-Nya kepada hamba-Nya, para nabi.
8 Kemudian suara yang kudengar dari syurga itu berkata lagi kepadaku, ‘Pergilah ambil naskhah kecil yang terbuka dari tangan malaikat yang berdiri di antara laut dengan darat itu.’
9 Aku pun mendapatkan malaikat itu dan berkata, ‘Berilah aku naskhah kecil itu.’ Katanya kepadaku, ‘Ambil dan makanlah naskhah ini. Perutmu akan terasa pahit tetapi di mulutmu akan terasa semanis madu.’
10 Lantas kuambil naskhah kecil itu dari tangannya lalu kumakan, maka di mulutku terasa semanis madu.
Tetapi setelah habis kumakan, perutku terasa pahit.
11 Dia berkata kepadaku, ‘Kamu harus bernubuat lagi tentang pelbagai kaum, bangsa, bahasa dan raja.’