2
Hukuman Allah yang adil
1 Oleh itu kamu tidak boleh berdalih hai manusia, walau siapapun kamu, apabila kamu menghakimi orang. Pada waktu kamu hakimi orang lain, kamu juga menjatuhkan hukuman kepada dirimu sendiri; kerana kamu yang menghakimi juga melakukan perkara yang sama.
2 Tetapi kita tahu bahawa hukuman Allah berdasarkan kebenaran dan dijatuhkan ke atas mereka yang mengamalkan perkara demikian.
3 Wahai manusia, apabila kamu menghakimi orang yang mengamalkan perkara demikian sedangkan kamu sendiri melakukannya juga, adakah kamu sangka kamu akan terlepas daripada hukuman Allah?
4 Atau adakah kamu memperkecil kebaikan, kemurahan serta kesabaran Allah yang amat besar, dan tidak tahu bahawa kebaikan Allah membawamu ke pintu taubat?
5 Dengan hati batumu yang tidak bertaubat, kamu mengumpul musibah kemurkaan Allah yang akan menimpamu pada hari kemurkaan dan ternyatanya hukuman Allah yang adil.
6 Allah akan ‘membalas kepada setiap orang setimpal dengan perbuatannya’.
7 Bagi mereka yang terus berbuat baik dengan sabar demi mendapatkan kemuliaan, kehormatan dan keabadian, Dia akan memberikan hidup yang kekal;
8 manakala bagi mereka yang mementingkan diri dan tidak taat akan kebenaran tetapi menjunjung kedurjanaan, maka kemarahan dan kemurkaan Allah akan menimpa mereka.
9 Kesusahan dan kesengsaraan akan menimpa diri setiap orang yang melakukan kedurjanaan: mula-mula kepada orang Yahudi, kemudian kepada orang bukan bani Israel juga;
10 tetapi kemuliaan, kehormatan dan kesejahteraan akan dicurahkan kepada setiap orang yang berbuat baik: mula-mula orang Yahudi, kemudian bangsa asing juga.
11 Allah tidak menghakimi berat sebelah.
12 Sekalian yang telah melakukan dosa tanpa mengenal hukum Taurat akan binasa tanpa hukum Taurat. Sekalian yang melakukan dosa sedangkan mereka mengenal hukum Taurat akan dihakimi menurut hukum Taurat.
13 Ini kerana orang yang benar di sisi Allah bukanlah mereka yang mendengar hukum Taurat, tetapi mereka yang mengamalkan ajarannya.
14 Apabila orang bukan bani Israel, yang tidak mempunyai hukum Taurat, secara tabii melakukan perkara-perkara yang terkandung di dalam hukum Taurat, maka mereka ini adalah hukum bagi diri mereka sendiri.
15 Hukum itu tersurat di hati mereka dan hati nurani mereka juga naik saksi. Fikiran mereka menuduh atau membela mereka,
16 pada hari Allah menghakimi segala rahsia manusia melalui Isa al-Masih, menurut Injil yang kuberitakan.
Orang Yahudi dan Taurat Musa
17 Kamu memanggil dirimu orang Yahudi, dan bergantung kepada hukum Taurat serta berbangga kerana hubunganmu dengan Allah.
18 Kamu mengetahui kehendak-Nya, dan menyokong segala yang baik, kerana kamu telah diajarkan hukum Taurat.
19 Kamu yakin bahawa kamulah yang memimpin orang buta, yang menerangi orang dalam kegelapan,
20 yang mengajar orang bodoh, yang mengasuh anak kecil, kerana kamu mempunyai garis-garis ilmu dan kebenaran dalam hukum Taurat.
21 Dengan demikian, kamu yang mengajar orang lain, tidakkah kamu mengajar diri sendiri? Kamu yang berkhutbah melarang orang mencuri, adakah kamu sendiri mencuri?
22 Kamu yang berkata, ‘Jangan berzina,’ adakah kamu melakukan zina? Kamu yang membenci berhala, adakah kamu merompak tempat ibadat?
23 Kamu yang berbangga dengan hukum Taurat, adakah kamu menghina Allah dengan melanggar hukum itu?
24 ‘Nama Allah dikufuri di kalangan orang bukan bani Israel akibat perbuatanmu’ – demikianlah yang telah tersurat.
25 Persunatan memang bermanfaat jika kamu taat akan hukum Taurat; tetapi sekiranya kamu melanggar hukum Taurat, batallah persunatan itu.
26 Oleh yang demikian, jika seorang yang tidak bersunat mengamalkan perkara-perkara yang baik dalam hukum Taurat, tidakkah dia dikira sebagai telah bersunat?
27 Jika orang tidak bersunat mematuhi hukum Taurat, tidakkah dia menghakimi kamu kerana walaupun kamu mempunyai hukum bertulis dan persunatan namun kamu melanggar hukum itu?
28 Seseorang dikira Yahudi bukanlah berasaskan keadaan lahiriah; dan persunatan bukanlah bergantung pada keadaan jasmani.
29 Seseorang dikira orang Yahudi berasaskan keadaan batiniah; dan persunatan adalah di hati dan bersifat rohani bukan mengikut hukum yang tersurat dalam Taurat. Orang sedemikian mendapat pujian bukan daripada manusia tetapi daripada Allah.