16
Salam
1 Aku amanahkan kepadamu Febe, saudari kita, seorang yang mengabdikan diri kepada jemaah di Kengkrea,
2 supaya kamu menyambutnya dalam Tuhan sebagaimana yang wajar di antara orang salih, serta membantunya apabila dia memerlukan pertolonganmu, kerana dia telah menolong ramai orang, termasuklah aku.
3 Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, rakan-rakan seperjuanganku dalam Isa al-Masih.
4 Mereka telah bergadai nyawa untukku. Bukan aku saja yang terhutang budi kepada mereka, malah seluruh jemaah dari bangsa-bangsa lain.
5 Salam kepada jemaah yang berhimpun di rumah mereka.
Salam kepada Epenetus, saudara yang kukasihi, orang yang pertama beriman kepada al-Masih di Asia.
6 Salam kepada Maryam, yang telah bertungkus-lumus untukmu.
7 Salam kepada Andronikus dan Yunias, saudara-saudara sebangsaku dan teman-temanku dalam penjara. Mereka adalah orang terkemuka di antara para rasul, dan yang telah menerima al-Masih sebelumku.
8 Salam kepada Ampliatus yang kukasihi dalam Tuhan.
9 Salam kepada Urbanus, rakan seperjuangan kamu dalam al-Masih, dan juga kepada Stakhis yang kukasihi.
10 Salam kepada Apeles, yang terbukti setia dalam al-Masih. Salam kepada Aristobulus dan seisi rumahnya.
11 Salam kepada Herodion, saudara sebangsaku.
Salam kepada Narkisus sekeluarga, yang hidup dalam Tuhan.
12 Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa, yang telah berpenat-lelah dalam Tuhan.
Salam kepada Persis yang kukasihi, yang juga telah bertungkus-lumus dalam Tuhan.
13 Salam kepada Rufus, hamba yang terpilih dalam Tuhan, dan kepada ibunya, yang telah menjadi ibu juga kepadaku.
14 Salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas dan saudara-saudara yang bersama mereka.
15 Salam kepada Filologus dan Yulia, Nereus dan saudara perempuannya Olimpas, serta semua orang salih yang bersama mereka.
16 Bersalam-salamanlah dengan ciuman suci.
Jemaah-jemaah al-Masih berkirim salam kepadamu.
17 Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, berwaspadalah terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan menyesatkan orang daripada ajaran yang telah kamu terima. Berpalinglah daripada mereka.
18 Orang demikian bukanlah hamba Junjungan al-Masih tetapi hamba kepada hawa nafsu mereka sendiri. Mereka memperdaya orang yang lurus dengan kata-kata yang manis.
19 Semua orang telah mengetahui ketaatanmu. Oleh itu aku bergembira tentangmu. Aku mahu kamu bijak dalam kebaikan serta bersih daripada kejahatan.
20 Allah, sumber kesejahteraan, akan segera membuat Iblis hancur di bawah kakimu. Semoga kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih menyertai kamu semua.
21 Timotius, rakan seperjuanganku, berkirim salam kepadamu; begitu juga Lukius, Yason dan Sosipater, kawan-kawan sebangsaku.
22 Aku, Tertius, yang menulis surat ini, juga berkirim salam kepadamu dalam Tuhan.
23 Gayus, yang memberiku tempat menumpang serta semua jemaah yang berhimpun di rumahnya, berkirim salam kepadamu.
Salam juga daripada Erastus, bendahara kota, dan Kuartus, saudara kita.
24 Semoga kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih menyertai kamu semua.
25 Sekarang, kepada Dia yang berkuasa meneguhkan kamu menurut berita baik yang kusampaikan dan ajaran Isa al-Masih, menurut pernyataan rahsia yang tersembunyi sejak permulaan dunia
26 tetapi kini telah dinyatakan, dan melalui nubuat-nubuat dalam kitab suci telah disampaikan kepada semua bangsa, menurut perintah Allah yang kekal, supaya mereka dibawa mentaati iman;
27 kepada Allah, yang satu-satunya bijaksana, segala kemuliaan melalui Isa al-Masih selama-lamanya. Amin.