3
Isteri dan suami
1 Demikian juga kamu, isteri, berserahlah kepada suamimu. Dengan demikian, suami yang tidak percaya kepada firman Allah dapat ditarik untuk percaya tanpa sepatah kata, hanya dengan kelakuan isterinya
2 ketika mereka melihat betapa murni dan salihnya hidupmu.
3 Janganlah hiasi dirimu di luar sahaja – mendandan rambut, memakai emas atau pakaian indah.
4 Hiasilah batinmu, dengan keindahan yang tidak dapat dimusnahkan, iaitu bersikap lembut dan tenang, yang sangat berharga di sisi Allah.
5 Demikianlah hiasan perempuan zaman dahulu yang salih dan berharap pada Allah. Mereka berserah kepada suami,
6 seperti Sarah yang taat kepada Ibrahim dan memanggilnya tuan. Kamu adalah anak-anak perempuan Sarah jika kamu berbuat baik dan tidak takut apa-apa.
7 Suami, kamu juga hendaklah hidup bersama isterimu dengan sikap mengerti. Berilah penghormatan kepada isteri sebagai kaum yang lebih lemah dan sebagai rakan pewarismu yang sama-sama menerima kasih kurnia hidup. Dengan demikian doamu kepada Allah tidak akan terhalang.
Menderita kerana berbuat baik
8 Sebagai kesimpulan, bersatu hatilah kamu semua, dan amalkan belas ihsan antara satu sama lain. Jalinkanlah kasih persaudaraan antaramu, dengan hati yang lembut dan adab sopan yang baik.
9 Jangan balas kejahatan dengan kejahatan atau celaan dengan celaan. Sebaliknya balaslah dengan memohon Allah memberkati mereka. Kamu mengetahui bahawa Allah telah memanggilmu supaya kamu mendapat berkat kelak.
10 Kerana,
‘Sesiapa yang ingin menikmati hidup
dan mengalami masa yang baik
hendaklah menjaga lidahnya
daripada kejahatan
dan bibirnya daripada kata-kata
yang palsu.
11 Hendaklah dia tinggalkan kejahatan
dan lakukan kebaikan;
hendaklah dia cari dan buru kedamaian.
12 Kerana mata Tuhan tertuju kepada
orang yang benar
dan telinga-Nya mendengar doa mereka,
tetapi wajah Tuhan menentang mereka
yang berbuat jahat.’
13 Siapakah yang akan menyakitimu jika kamu berbuat kebaikan dengan penuh semangat?
14 Namun, kalaupun kamu menderita kerana melakukan yang benar, kamu akan diberkati. ‘Jangan takut akan ugutan mereka dan janganlah bimbang.’
15 Hormatilah al-Masih sebagai Junjungan Yang Esa dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberi jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan di hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat,
16 serta dengan suara hati yang murni. Dengan demikian mereka yang mencela kelakuan baikmu sebagai pengikut al-Masih akan berasa malu.
17 Jika dikehendaki Allah kamu menderita kerana melakukan kebaikan, itu lebih baik daripada menderita kerana melakukan kejahatan.
18 Al-Masih juga telah mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita. Dia yang tidak bersalah telah menderita untuk kita yang bersalah supaya Dia dapat membawa kita kepada Allah. Dia telah dibunuh secara jasmani tetapi dihidupkan semula sebagai Roh.
19 Dalam keadaan demikian, Dia pergi menyampaikan perkhabaran kepada roh-roh yang dipenjarakan.
20 Roh-roh itu tidak taat akan Allah yang menantikan mereka dengan sabar sepanjang masa Nuh membina bahteranya. Hanya lapan orang menaiki bahtera itu dan diselamatkan melalui air.
21 Air bah itu melambangkan pengimadan yang sekarang menyelamatkan kita, pengimadan – bukan pembersihan kotoran badan tetapi sambutan hati nurani yang suci terhadap Allah – melalui pembangkitan Isa al-Masih daripada kematian.
22 Dia telah pergi ke syurga dan sekarang berada di kanan Allah. Para malaikat, penguasa dan pemerintah telah diletakkan di bawah-Nya.