18
Yang terbesar di dalam kerajaan syurga
1 Pada ketika itu para pengikut Isa datang bertanya kepada-Nya, ‘Siapakah yang dianggap terbesar antara orang di dalam kerajaan syurga nanti?’
2 Isa memanggil seorang kanak-kanak, disuruh-Nya berdiri di hadapan mereka semua.
3 Isa pun berkata: ‘Ketahuilah! Kecuali kamu bersikap seperti kanak-kanak, kamu tidak akan memasuki kerajaan syurga.
4 Oleh itu, orang yang dianggap terbesar dalam kerajaan syurga ialah yang merendah diri dan bersikap seperti kanak-kanak.
5 ‘Sesiapa yang meraikan kanak-kanak begini kerana Aku, ertinya dia meraikan Aku.
6 Sesiapa yang menyebabkan seorang pengikut-Ku yang kecil ini melakukan dosa, lebih baiklah jika batu kisaran diikatkan ke lehernya dan dia ditenggelamkan dalam laut yang dalam.
7 ‘Malanglah dunia yang penuh dengan perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa! Memang dosa tetap berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya!
8 Sekiranya tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan atau kaki tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu mempunyai dua tangan dan dua kaki tetapi dihumbankan ke dalam api neraka.
9 Sekiranya matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu memiliki dua mata tetapi dilontarkan ke dalam api neraka.
Ibarat tentang domba yang hilang
10 ‘Hati-hatilah, jangan hinakan seorang daripada pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa berada di hadirat Bapa-Ku di syurga.
11 Putera Insan datang untuk menyelamatkan orang yang sesat.
12 ‘Bagaimana pandanganmu? Jika seseorang mempunyai seratus ekor domba dan seekor daripadanya sesat, apa yang akan dilakukannya? Tentulah dia meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang merumput di bukit dan pergi mencari domba yang sesat itu.
13 Sesungguhnya, apabila dia menjumpainya, domba yang seekor itu lebih menggembirakannya daripada sembilan puluh sembilan ekor yang lain itu.
14 Demikianlah juga Bapamu yang di syurga, tidak mahu seorang pun pengikut-Ku yang kecil ini sesat.
Saudaramu yang berdosa terhadapmu
15 ‘Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah mendapatkannya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan diam-diam, antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mahu mendengar katamu, ertinya kamu berjaya mendapat kembali saudaramu.
16 Jika tidak, bawalah seorang dua bersamamu; kerana telah tersurat, “Setiap tuduhan harus disokong dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi.”
17 Sekiranya dia enggan menerima nasihat mereka, maklumkan hal itu kepada jemaah. Jika nasihat jemaah pun tidak diterimanya, anggaplah dia seperti orang yang tidak mengenal Allah atau pemungut cukai.
18 ‘Sesungguhnya, apa yang kamu ikat di dunia akan diikat di syurga, dan apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.
19 ‘Ketahuilah juga, setiap kali dua orang daripadamu di dunia ini bersetuju untuk memohon sesuatu daripada-Ku, permohonan itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga;
20 kerana apabila dua atau tiga orang berhimpun kerana-Ku, Aku ada di situ bersama mereka.’
Ibarat tentang pengampunan
21 Petrus datang mendapatkan Isa lalu bertanya, ‘Junjungan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah harus kuampuni dia? Sehingga tujuh kali?’
22 Isa menjawab, ‘Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali.’
23 ‘Kerana kerajaan syurga seperti berikut: Seorang raja hendak menyelesaikan kira-kira dengan para hambanya.
24 Salah seorang hambanya yang berhutang sebanyak lima puluh juta keping wang perak dibawa mengadapnya.
25 Hamba itu tidak dapat menjelaskan hutangnya. Oleh itu, raja memerintahkan supaya hamba itu dijual bersama anak isteri dan harta bendanya untuk membayar hutang itu.
26 ‘Hamba itu menyembah dan merayu, “Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutang itu.”
27 Raja itu berasa kasihan kepadanya lalu menghapuskan segala hutangnya dan membebaskannya.
28 ‘Tetapi ketika hamba itu keluar, dia menemui seorang hamba lain yang berhutang seratus keping wang perak kepadanya. Dia menangkap dan hendak mencekik rakannya itu sambil berkata, “Bayar semua hutangmu.”
29 ‘Rakannya itu menyembah dan merayu, “Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutangku.”
30 ‘Tetapi hamba itu tidak mempedulikan rayuan rakannya. Malah dia memerintahkan supaya rakannya dipenjarakan sehingga menjelaskan hutangnya.
31 Hamba-hamba lain dukacita melihatnya lalu mengadukan hal itu kepada raja.
32 ‘Raja pun memanggil hamba yang tidak berhati perut itu lalu berkata, “Sungguh kejam perbuatanmu! Aku telah menghapuskan segala hutangmu kerana kamu merayu supaya aku mengampunimu.
33 Bukankah sepatutnya kamu mengasihani rakanmu sebagaimana aku mengasihanimu?”
34 Dengan murkanya raja menitahkan supaya hamba yang tidak berperikemanusiaan itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dibayar.
35 ‘Begitulah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripadamu yang tidak mengampuni saudaranya dengan ikhlas.’