12
Ibarat tentang penyewa ladang
1 Setelah itu Dia mula berkata-kata kepada mereka melalui ibarat: ‘Seorang peladang menanam anggur, memasang pagar sekeliling ladangnya, menggali lubang untuk tempat memeras anggur, dan membina menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggurnya kepada beberapa orang lalu pergi ke sebuah negeri yang jauh.
2 Apabila tiba musim mengumpulkan hasil tanaman anggur, tuan punya ladang itu menghantar seorang hambanya untuk meminta bahagiannya daripada hasil itu.
3 Para penyewa ladang menangkap dan memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong.
4 Tuan punya ladang menghantar seorang lagi hambanya. Mereka memukulnya, menyebabkannya luka di kepala dan menyuruhnya pergi setelah diperlakukan sebegitu kejinya.
5 Selepas itu tuan punya ladang menghantar seorang lagi hambanya, dan mereka membunuh hamba itu. Ramai lagi dihantar, ada yang dibunuh dan ada yang dipukul.
6 ‘Oleh yang demikian, kerana dia masih ada seorang putera yang amat dikasihinya, dia menghantarnya sebagai utusan terakhir, sambil berkata dalam hatinya, “Mereka akan menghormati puteraku.”
7 ‘Tetapi para penyewa ladang berkata sesama sendiri, “Ini warisnya. Mari kita bunuh dia, supaya harta warisannya menjadi milik kita.”
8 Mereka pun menangkap dan membunuhnya lalu mencampakkannya ke luar ladang itu.
9 ‘Jadi, apa yang akan dilakukan oleh tuan punya ladang anggur itu? Dia akan datang dan membinasakan para penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada orang lain.
10 Belum pernahkah kamu baca di dalam Kitab Suci:
‘ “Batu yang dibuang oleh pembina
telah menjadi batu penjuru;
11 Inilah perbuatan Allah,
sungguh hebat di mata kami.” ’
12 Mereka ingin menangkap Isa tetapi takut akan orang ramai. Mereka tahu ibarat itu menyindir mereka. Mereka meninggalkan-Nya dan pergi dari situ.
Membayar cukai kepada Kaisar
13 Kemudian mereka menghantar kepada-Nya beberapa orang Farisi dan golongan Herodes, untuk memerangkap-Nya melalui kata-kata-Nya.
14 Orang yang dihantar itu berkata kepada-Nya, ‘Tuan Guru, kami tahu bahawa Engkau jujur, tidak peduli akan pendapat orang. Engkau tidak pilih kasih, hanya mengajar jalan Allah dengan mengatakan apa yang benar. Wajarkah kita membayar cukai kepada Kaisar Rom, atau tidak?
15 Patutkah kami bayar, ataupun tidak?’
Tetapi Isa tahu bahawa mereka itu munafik lalu berkata, ‘Mengapa kamu menduga-Ku? Bawakan sekeping wang perak untuk Kulihat.’
16 Mereka pun membawakannya kepada Isa. Dia berkata kepada mereka, ‘Gambar dan nama siapakah ini?’
Mereka berkata kepada-Nya, ‘Kaisar.’
17 Isa memberikan jawapan, ‘Berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.’
Mereka kagum mendengar kata-kata-Nya.
Perkahwinan pada hari kebangkitan
18 Selepas itu beberapa orang Saduki, suatu golongan yang tidak mempercayai kebangkitan manusia daripada kematian, datang kepada Isa lalu bertanya,
19 ‘Tuan Guru, Musa menulis untuk kami bahawa jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah mengahwini balunya dan memanjangkan zuriatnya.
20 Kesemuanya ada tujuh lelaki adik-beradik. Yang sulung beristeri, kemudian meninggal dunia tanpa anak.
21 Yang kedua berkahwin dengan balu saudaranya, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Begitu juga yang ketiga.
22 Ketujuh-tujuhnya mengahwini wanita itu dan meninggal dunia tanpa mendapat anak. Akhirnya wanita itu juga meninggal dunia.
23 Jadi, pada masa manusia bangkit daripada kematian, isteri siapakah wanita itu? Ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.’
24 Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu tersilap, kerana kamu tidak memahami Kitab Suci mahupun kuasa Allah?
25 Apabila manusia bangkit daripada kematian, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga.
26 Tetapi tentang kebangkitan orang mati, tidakkah kamu baca dalam kitab Musa, bahagian tentang belukar yang bernyala, betapa Allah berfirman kepadanya, “Akulah Allah Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub.”
27 Dia bukanlah Allah Tuhan orang mati. Dia Allah Tuhan orang hidup. Oleh itu kamu tersilap sama sekali!’
Perintah yang terutama
28 Seorang guru Taurat datang mendengar mereka bersoal jawab. Dia sedar bahawa Isa telah menjawab dengan baik. Dia pun bertanya kepada-Nya, ‘Perintah manakah yang terutama?’
29 Isa menjawab, ‘Yang terutama antara semua perintah ialah: “Dengarlah, wahai umat Israel, Allah Tuhan kita, Tuhan kita adalah Esa.
30 Kamu hendaklah mengasihi Allah Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh fikiranmu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.” Inilah perintah yang terutama.
31 Perintah yang kedua ialah: “Kamu hendaklah mengasihi sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tiada perintah lain yang lebih utama daripada dua perintah ini.’
32 Guru Taurat itu berkata kepada Isa, ‘Sungguh baik jawapan Tuan Guru. Kata-kata Engkau itu benar, kerana Allah itu Esa, tiada yang lain daripada-Nya.
33 Mengasihi-Nya dengan sepenuh hati, dengan sepenuh fikiran, dengan sepenuh jiwa, dan dengan sepenuh kekuatan, serta mengasihi sesama manusia seperti diri sendiri, adalah lebih utama daripada segala persembahan dan korban.’
34 Isa sedar bahawa jawapan itu bijaksana, lalu berkata kepada guru Taurat itu, ‘Kamu tidak jauh daripada kerajaan Allah.’ Selepas itu tiada siapa yang berani menyoal-Nya.
Hubungan antara Isa dan Daud
35 Kemudian, ketika mengajar di rumah ibadat, Isa berkata, ‘Bagaimanakah guru-guru Taurat dapat mengatakan bahawa al-Masih itu anak Daud?
36 Kerana Daud sendiri berkata dengan panduan Roh Suci:
‘ “Tuhan berfirman kepada Junjunganku:
‘Duduklah di kanan-Ku
sehingga Kujadikan segala musuh-Mu
alas kaki-Mu.’ ”
37 ‘Jadi, Daud sendiri memanggil-Nya “Junjungan.” Bagaimana Dia boleh dianggap anak Daud?’
Orang ramai mendengar kata-kata Isa dengan sukacita.
38 Dia mengajar mereka lagi, ‘Awas guru-guru Taurat, yang suka ke sana sini berjubah labuh, gembira diberi salam hormat di pasar-pasar,
39 tempat duduk terbaik di saumaah dan di majlis jamuan.
40 Mereka merampas rumah balu, kemudian pura-pura berdoa berjela-jela. Mereka ini akan menerima hukuman yang amat berat.’
Persembahan seorang balu
41 Isa duduk berhadapan dengan peti wang persembahan dan melihat betapa orang memasukkan wang ke dalamnya. Ramai orang kaya memasukkan sumbangan yang besar.
42 Kemudian seorang balu yang miskin memasukkan dua keping wang tembaga, yang sangat kecil nilainya.
43 Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, balu yang miskin itu telah memberi lebih daripada semua orang yang telah memasukkan wang ke dalam peti persembahan;
44 kerana mereka memberi daripada kekayaan mereka yang melimpah, tetapi dia daripada kemiskinannya dan telah memasukkan semua yang ada padanya, seluruh rezekinya.’