20
Kebangkitan Isa al-Masih
1 Pada awal pagi hari pertama minggu itu, ketika masih gelap lagi, Maryam Magdalena pergi ke makam itu. Dia mendapati batu penutup telah digulingkan dari lubang makam itu.
2 Dia pun berlari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Isa lalu berkata, ‘Jenazah Junjungan telah diambil dari makam, entah ke mana dialihkan.’
3 Petrus dan pengikut lain itu pun pergi ke makam.
4 Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu berlari mendahului Petrus dan tiba di makam itu lebih dahulu.
5 Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ tetapi tidak masuk ke makam itu.
6 Apabila Simon Petrus yang menyusul pengikut lain itu tiba, dia terus masuk ke dalam makam itu dan nampak kain linen terletak di situ.
7 Dia juga melihat kain yang diikatkan pada kepala Isa, terlipat berasingan.
8 Kemudian, pengikut lain yang sampai dahulu itu pun masuk. Dia melihat segala-galanya lalu percaya.
9 Setakat itu mereka belum memahami apa yang tersurat di dalam Kitab Suci, iaitu Dia harus bangkit daripada kematian.
10 Selepas itu, pengikut-pengikut Isa itu pun pulang ke rumah mereka.
Isa menampakkan diri kepada Maryam
11 Tetapi Maryam berdiri di hadapan makam itu sambil menangis. Kemudian sambil menangis dia menjenguk ke dalam.
12 Dia melihat dua malaikat berpakaian putih duduk di tempat jenazah Isa dibaringkan dahulu, satu malaikat di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki.
13 Malaikat-malaikat itu bertanya kepada Maryam, ‘Puan, mengapa menangis?’
Maryam menyahut, ‘Jenazah Junjunganku telah diambil, entah ke mana dialihkan!’
14 Kemudian Maryam menoleh lalu melihat Isa berdiri di situ, tetapi Maryam tidak mengenal-Nya.
15 Isa berkata kepada Maryam, ‘Puan, mengapa menangis? Siapakah yang kamu cari?’
Pada sangkaan Maryam, Dia tukang kebun di taman itu. Dengan demikian Maryam berkata, ‘Tuan, jika kamu telah mengalihkan jenazah Isa, beritahulah aku di mana kamu letakkan-Nya, supaya dapat kuambil jenazah-Nya.’
16 Isa berkata kepadanya, ‘Maryam!’
Maryam berpaling kepada Isa lalu berseru dalam bahasa Ibrani, ‘Rabboni!’ (ertinya ‘Guru’).
17 Isa berkata kepadanya, ‘Jangan berpaut pada-Ku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku, katakan kepada mereka bahawa sekarang Aku akan kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, Allah Tuhan-Ku dan Allah Tuhanmu.’
18 Maryam pun pergi mendapatkan para pengikut Isa lalu memberitahu bahawa Dia telah melihat Junjungan dan Dia telah menuturkan kata-kata itu kepadanya.
Isa menampakkan diri kepada para pengikut-Nya
19 Pada hari minggu itu, setelah petang, para pengikut Isa berhimpun di sebuah rumah dengan pintu terkunci kerana takut akan orang Yahudi. Isa muncul di kalangan mereka lalu berkata, ‘Sejahtera ke atas kamu!’
20 Selepas itu Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka, maka mereka pun bersukacita melihat Junjungan.
21 Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Salam sejahtera kepadamu! Sebagaimana Bapa mengutus-Ku, begitulah Aku mengutusmu.’
22 Kemudian Dia menghembuskan nafas-Nya ke atas mereka lalu berkata, ‘Terimalah Roh Suci.
23 Sesiapa yang kamu ampunkan dosanya, dosanya diampunkan. Sesiapa yang tidak kamu ampunkan dosanya, dosanya tidak akan diampunkan.’
Isa menampakkan diri kepada Tomas
24 Tomas yang digelar Didimus, seorang daripada pengikut Isa yang dua belas itu, tidak ada bersama mereka apabila Isa datang.
25 Oleh itu, pengikut-pengikut lain memberitahu Tomas, ‘Kami telah melihat Junjungan!’
Tetapi Tomas berkata, ‘Selagi aku tidak melihat sendiri bekas paku di tangan-Nya, dan memasukkan jariku ke dalam bekas luka itu, juga memasukkan tanganku ke dalam rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya.’
26 Seminggu selepas itu, para pengikut Isa termasuk Tomas berhimpun lagi di situ. Sungguhpun pintu terkunci seperti dahulu, Isa muncul di kalangan mereka lalu berkata, ‘Salam sejahtera kepadamu!’
27 Setelah itu Dia berkata kepada Tomas, ‘Hulurkan jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkan tanganmu dan masukkannya ke dalam rusuk-Ku. Jangan ragu-ragu lagi. Percayalah.’
28 Tomas pun berkata kepada Isa, ‘Ya Junjunganku! Ya Tuhanku!’
29 Isa berkata kepadanya, ‘Tomas, oleh sebab kamu telah melihat-Ku maka kamu percaya. Diberkatilah orang yang percaya walaupun tidak melihat-Ku!’
Tujuan kitab ini ditulis
30 Isa telah melakukan banyak lagi mukjizat di hadapan para pengikut-Nya, tetapi tidak dituliskan di dalam kitab ini.
31 Tetapi segala yang telah dituliskan di sini bertujuan supaya kamu percaya bahawa Isa adalah al-Masih, Putera Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu akan memperoleh hidup dalam nama-Nya.