13
Isa membasuh kaki pengikut-pengikut-Nya
1 Sebelum perayaan Paska, Isa tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Isa mengasihi mereka hingga ke saat akhir.
2 Semasa Isa dan pengikut-pengikut-Nya sedang makan malam, Iblis sudahpun menimbulkan niat di hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Isa.
3 Isa tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya.
4 Dengan demikian, Isa berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya.
5 Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah besen lalu membasuh kaki para pengikut-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya.
6 Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, ‘Junjungan, wajarkah Junjungan membasuh kakiku?’
7 Isa menjawab, ‘Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.’
8 Petrus berkata kepada Isa, ‘Tidak! Junjungan sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!’
Namun, Isa menjawab, ‘Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.’
9 Simon Petrus berkata, ‘Junjungan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!’
10 Isa berkata kepadanya, ‘Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.’
11 (Isa tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, ‘Bukan semua yang bersih.’)
12 Setelah membasuh kaki para pengikut-Nya, Isa memakai semula jubah-Nya lalu bertelekan di meja dan berkata kepada mereka, ‘Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu?
13 Kamu memanggil-Ku Guru dan Junjungan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Junjungan.
14 Jika Aku sebagai Junjungan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri.
15 Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu.
16 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak mungkin lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya.
17 Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.
18 ‘Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat di dalam Kitab Suci pasti terjadi, “Orang yang makan bersama-Ku akan berpaling menentang-Ku.”
19 ‘Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia.
20 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menyambut orang yang Kuutus, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut-Ku, menyambut Dia yang mengutus-Ku.’
Isa mengatakan tentang pengkhianatan-Nya
21 Setelah melafazkan kata-kata itu, Isa berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus-terang, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, salah seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.’
22 Para pengikut Isa berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Isa.
23 Salah seorang pengikut yang dikasihi oleh Isa bertelekan di sisi-Nya.
24 Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, ‘Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.’
25 Pengikut itu melayah dekat kepada Isa lalu bertanya, ‘Siapakah dia, ya Junjungan?’
26 Isa menjawab, ‘Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya.’ Isa pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot.
27 Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya.
Isa pun berkata kepadanya, ‘Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan.’
28 Tidak seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Isa berkata demikian kepada Yudas.
29 Beberapa orang pengikut Isa menyangka Isa menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk perayaan Paska, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka.
30 Yudas menyambut roti yang dihulurkan oleh Isa lalu segera pergi. Ketika itu hari sudah malam.
31 Setelah Yudas pergi, Isa berkata, ‘Sekarang Putera Insan dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya.
32 Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia di dalam diri-Nya segera.
33 ‘Anak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, “Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.”
34 ‘Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri.
35 Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-Ku.’
Isa memperingatkan Petrus
36 Simon Petrus bertanya kepada Isa, ‘Ke mana Junjungan hendak pergi?’
Isa menjawab, ‘Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ.’
37 Petrus bertanya lagi, ‘Junjungan, mengapa aku tidak dapat mengikut Engkau sekarang? Aku rela mati untuk-Mu, Junjungan!’
38 Isa menjawab, ‘Benarkah kamu rela mati untuk-Ku? Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali.