28
Paulus di Pulau Malta
1 Setelah selesai segalanya, barulah kami mendapat tahu bahawa pulau itu bernama Malta.
2 Penduduk pulau itu bersikap ramah mesra kepada kami. Mereka menyalakan api dan menyambut kami sekalian masuk berlindung daripada hujan dan kesejukan.
3 Paulus memungut ranting dan apabila dia meletakkannya di atas api, seekor ular keluar melarikan diri dari kepanasan lalu memagut tangan Paulus.
4 Apabila penduduk pulau itu melihat ular tersebut pada tangan Paulus, mereka berkata sama sendiri, ‘Tentu dia ini seorang pembunuh; sungguhpun dia selamat daripada bahaya laut, tetapi Dewi Keadilan tidak membiarkan dia hidup.’
5 Paulus mengebaskan ular itu ke dalam api tanpa mengalami sebarang kecederaan.
6 Semuanya menantikan kalau-kalau dia naik bengkak atau rebah mati; tetapi lama mereka menanti-nanti, tidak juga mereka melihat apa-apa bencana menimpanya. Sangkaan mereka pun berubah, mengatakan Paulus itu seorang dewa.
7 Di daerah itu ada tanah yang dipunyai oleh Publius, pemerintah pulau itu. Dia menyambut kami dan melayani kami selama tiga hari dengan budi bahasa yang baik.
8 Ketika itu bapa Publius terlantar mengidap demam dan mengalami cirit-birit. Paulus masuk menghampirinya lalu berdoa sambil meletakkan tangan ke atasnya dan menyembuhkannya.
9 Selepas itu, beberapa orang yang mengidap penyakit di pulau itu datang berjumpa Paulus, lalu dia menyembuhkan mereka.
10 Mereka menunjukkan penghargaan yang tinggi kepada kami; dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa pelbagai barang yang berguna ke dalam kapal sebagai bekalan untuk kami.
Paulus tiba di Rom
11 Tiga bulan kemudian, kami belayar dalam sebuah kapal bernama Dioskuri yang telah datang dari Iskandaria dan tinggal di pulau itu sepanjang musim dingin.
12 Kami singgah di Sirakusa lalu tinggal di sana tiga hari,
13 kemudian belayar ke kota Regium. Esoknya angin mula bertiup dari selatan dan lusanya kami sampai ke Putioli.
14 Di sana kami bertemu saudara-saudara seiman lalu menerima ajakan tinggal bersama mereka selama tujuh hari. Kemudian sampailah kami ke Rom.
15 Para pengikut Isa di Rom mendengar khabar tentang kami lalu datang dari sana sampai ke Pasar Apius dan Kedai Tiga untuk bertemu dengan kami. Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Allah dan menjadi tabah.
16 Di Rom Paulus dibenarkan tinggal seorang diri, hanya dijaga oleh seorang askar.
Khutbah Paulus di Rom
17 Tiga hari kemudian, Paulus meminta para pemimpin masyarakat Yahudi datang berjumpa dengannya. Dia berkata kepada mereka, ‘Saudara-saudara, sungguhpun aku tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap bangsa kita atau melanggar adat nenek moyang kita, namun aku ditahan di Baitulmaqdis lalu diserahkan ke tangan orang Rom.
18 Mereka memeriksa perkaraku dan hendak membebaskanku kerana mereka mendapati aku tidak melakukan satu kesalahan pun yang patut dihukum mati.
19 Apabila orang Yahudi menentang keputusan itu, terpaksalah aku meminta hendak mengadu kepada Kaisar; tetapi bukanlah kerana hendak mengajukan apa-apa dakwaan terhadap bangsa kita.
20 Itulah sebabnya aku meminta saudara-saudara bertemu dan bercakap dengan aku. Aku dibelenggu begini kerana Dia yang diharapkan oleh orang Israel.’
21 Mereka berkata kepada Paulus, ‘Kami belum mendapat surat dari Yudea tentang saudara. Tiada seorang pun yang datang ke sini menyebutkan apa-apa kesalahan saudara.
22 Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu orang di serata tempat mencela ajaran yang saudara anuti.’
23 Mereka menetapkan hari untuk bertemu lagi dengan Paulus. Pada hari itu lebih ramai lagi yang datang ke tempat dia menumpang itu. Dia menerangkan segala-galanya, bersaksi tentang kerajaan Allah dan berusaha meyakinkan mereka tentang Isa dengan menunjukkan bukti dalam Taurat Musa dan tulisan para nabi, dari pagi hingga ke malam.
24 Ada yang percaya akan katanya itu dan ada yang tidak.
25 Mereka pergi dari situ dengan pendapat yang bercanggah sesama sendiri, setelah Paulus berkata, ‘Benarlah apa yang dikatakan oleh Roh Suci melalui Nabi Yasyaya kepada nenek moyang kita,
26 ‘ “Pergilah kepada bangsa ini dan katakan:
‘Kamu akan mendengar
tetapi tidak mengerti;
Kamu terus melihat
tetapi tidak mengetahui.’
27 Kerana hati umat ini telah buntu,
mereka pekakkan telinga,
dan pejamkan mata.
Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat
dengan mata,
mendengar dengan telinga,
dan mengerti dengan hati,
lalu berpaling kepada-Ku
dan Aku menyembuhkan mereka. ” ’
28 Paulus berkata, ‘Saudara-saudara, ketahuilah: perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan Allah sekarang telah disampaikan kepada orang bangsa asing. Merekalah yang akan menerimanya.’
29 Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar hebat sesama mereka.
30 Paulus tinggal selama dua tahun di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut semua yang mengunjunginya
31 dan menyampaikan ajaran tentang kerajaan Allah serta Junjungan Isa al-Masih dengan berani dan bebas, tiada siapa yang menghalangnya.